PENGENALAN
Menurut cerita lisan Kampong Limau Manis ujud dikatakan bermula kira-kira 200-250
tahun. Kampong ini mendapat nama dikatakan berasal daripada sepohon pokok Limau
Manis yang besar dengan buahnya sangat manis yang tiada bandingan pada
zamannya. Pokok Limau itu tumbuh ditebing sungai (tapak tempat Pengkalan
Pengalu) yang kemudiannya dipanggil Pengkalan Limau Manis. Perkampongan ini dinamakan kemudian sebagai Kampong Limau Manis bersempena dengan Pengkalan ini.
Sungai ini pun dinamakan atas nama Sungai Limau Manis.
Menurut catatan sejarah (1906) kampong
Limau Manis dan sekitarnya (kampong-kampong dalam Mukim Pengkalan Batu), dan (kampong-kampong
Belading, Tedungan, Sungai Kongkolan, Durian Sulok, Paya Karangan, Sungai
Kabat, yang sekarang ini dibawah pentadbiran Limbang Sarawak, Malaysia), merupakan
satu dari enam (6) daerah dalam Negara Brunei Darussalam yang dikenali Daerah
Limau Manis atau dikenali Daerah Ulu Brunei.
Pada awal 1950an keluasan kawasan
kampong Limau Manis adalah lebih daripada apa yang ada sekarang, ianya sebagian
daripada kampong Batu Ampar (sehingga satu tempat dikenali sebagai Durian
Mahligai), sebagian kampong Wasan (sempadan awal ialah Sungai Tajau), kawasan
Jalan Junjungan (Sungai Mengatai, sekarang ini penempatan yang berasal dari kampong
Burung Pingai Air (sekarang termasuk dalam Kampong Junjongan).
Pengkalan Limau Manis adalah pusat perniagaan utama (pengalu). Yang berfungsi sebagai ulu Sungai Brunei dengan perhubungan utama melalui Sungai Limau Manis ke Pusat Bandar.
Kampong Kuala Lurah adalah satu kampong
dibawah kampong Limau Manis, yang bersempadan dengan kampong Belading. Asal
kampong Kuala Lurah mendapat nama, mengikut cerita lisan orang terdahulu adalah
satu laluan paya antara bukit Belading dan bukit disebelah Kampong Bebuloh.
Jalan paya ini adalah laluan para penduduk kampong Tedungan dan sekitarnya
termasuk juga penduduk dari kampong Bebuloh menuju ke Pengkalan Limau Manis
untok berjual beli dengan para Pengalu dari bandar Brunei, dan juga adalah
laluan sosial penduduk Kampong di Ulu Kampong Limau Manis berhubungan dengan
penduduk Limau Manis dan seterusnya jalan penghubung ke Bandar Brunei. Oleh
kerana jalan ini paya gambut maka terjadilah lurah sehinggakan para penduduk
membawa barangan dengan mengunakan kuntol (sejenis pengangkutan tradisi dibuat daripada
kayu) yang ditarik oleh kerbau. Kerana kuala ini menjadi lurah akibat perjalanan
penduduk menuju ke Kampong Limau Manis maka kuala yang terjadi lurah ini
dinamakan dengan Kuala Lurah. Penduduk kampong ini termasuk dalam jumlah
penduduk Kampong Limau Manis.
Mengikut catatan sejarah penduduk asal Kampong Limau Manis dan Kuala Lurah terdiri daripada puak Murut dan Bisaya dan
kemudiannya puak Kedayan. Pada masakini penduduk kampong ini terdiri dari pelbagai
puak, terutama puak Melayu Brunei, Dusun Muslim, Iban Muslim, bangsa cina dan
pendatang India dan Cina yang berniaga.
Penemuan penting tapak Arkeologi
dikawasan sungai Limau Manis pada bulan Mach tahun 2002 menjadikan penemuan tapak
Arkeologi terbesar dan tertua di Negara Brunei Darussalam. Penemuan tapak Sungai
Limau Manis ini merupakan satu kejayaan dan terpenting dalam sejarah arkeologi
dinegara ini.
Kampong Limau Manis terletak kira-kira
25 kilometer dari Bandar Seri Begawan termasuk dalam Mukim Pengkalan Batu Daerah
Brunei dan Muara, walaupun mengikut cerita orang tua-tua sebelum ini kampong Limau
Manis adalah sebuah mukim sehingga sekitar tahun awal 1960an.
Kampong Limau Manis dikelilingi oleh
bukit-bukit (bukit Basungan dan Bukit Bandung kawasan Kuala Lurah, Bukit Kota (sempadan
Limau Manis dan Batu Ampar) dan Bukit Gadong (kesebelah kampong Ipai Limbang), yang
tertinggi bukit Kota dengan ketinggian 133 meter (436 kaki).
Kampong Limau Manis terdiri dari
beberapa buah kampong disekitarnya iaitu kampong Kuala Lurah, Jalan Sekolah Limau
Manis dan Jalan Junjungan yang dikenali dahulu pada tahun-tahun 1960an sebagai Kampong
Pengucauan.
Pos Kawalan Kuala Lurah terletak
dihujung Kampong Kuala Lurah yang dahulu dikenali sebagai Kampong Belading. Kampong
Belading pada masakini dibawah pentadbiran Limbang walaupun pada awal tahun
1970an dibawah pentadbiran Negara Brunei Darussalam.
Pemandangan kampong Limau Manis dan Kuala Lurah dari puncak Bukit Kota.